IBNU SINA
Ibnu Sina atau nama sebenarnya Abu Ali
Al-Hassain Ibn Sina dilahirkan pada
tahun 370 Hijrah bersamaan dengan 980 M. Pengajian peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang
bahasa dan sastera. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain seperti
geometri, logik, matematik, sains, fiqh, dan perubatan. Walaupun Ibnu Sina
menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi beliau lebih
menonjol dalam bidang perubatan sama ada sebagai seorang doktor.
BIDANG
PERUBATAN.
Kemasyhurannya
melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya Al Qanun fi al-Tibb telah diterbitkan di Rom pada tahun
1593 sebelum dialihbahasakan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Precepts of Medicine. Dalam
jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku itu telah dicetak ke dalam 15 buah
bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan sebagai bahan rujukan
asas di universiti-universiti Itali dan Perancis. Malah, sehingga abad
ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh para pelajar perubatan.
Ibnu Sina juga telah
menghasilkan sebuah buku yang diberi judul Remedies for The Heart yang
mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam buku itu, beliau telah menceritakan
dan menghuraikan 760 jenis penyakit berserta cara untuk mengubatinya. Hasil
tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan sahaja.
Tetapi turut merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik, muzik,
astronomi, philologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama. Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu
itu telah menjadikan belau seorang tokoh sarjana yang serba boleh. Beliau tidak
sekadar menguasainya tetapi berjaya mencapai tahap kemuncak (zenith)
iaitu puncak kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang diceburinya.
Di samping menjadi
puncak dalam bidang perubatan, Ibnu Sina juga menduduki kedudukan yang tinggi
dalam bidang ilmu logik sehingga digelar guru ketiga. Dalam bidang penulisan,
Ibnu Sina telah menghasilkan ratusan karya termasuk kumpulan risalah yang
mengandungi hasil sastera kreatif.
Ibnu Sina mula
menjadi terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibn Nas
al-Samani yang gagal diubati oleh doktor yang lain. Kehebatan dan kepakaran
dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran
al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).
BIDANG FALSAFAH.
Perkara yang lebih
menakjubkan pada Ibnu Sina ialah beliau juga merupakan seorang ahli falsafah yang
terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah. Pemikiran
falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran falsafah al-Farabi yang telah
menghidupkan pemikiran Aristotle.
Oleh sebab itu, pandangan perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan
teori perubatan Yunani khususnya Hippocrates.
Perubatan Yunani
berasaskan teori empat unsur yang dinamakan humours iaitu darah, lendir (phlegm), hempedu kuning
(yellow bile), dan hempedu hitam (black bile). Menurut teori ini,
kesihatan seseorang mempunyai hubungan dengan campuran keempat-empat unsur
tersebut. Keempat-empat unsur itu harus berada pada kadar yang seimbang dan
apabila keseimbangan ini diganggu maka seseorang akan mendapat penyakit.
Setiap individu
dikatakan mempunyai formula keseimbangan yang berlainan. Meskipun teori itu
didapati tidak tepat tetapi ia telah meletakkan satu landasan kukuh kepada
dunia perubatan untuk mengenal pasti punca penyakit yang menjangkiti manusia.
Ibnu Sina telah menapis teori-teori kosmogoni Yunani ini dan mengislamkannya.
Ibnu Sina juga percaya
bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur iaitu tanah, air,api dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikan
sifat lembap, sejuk, panas, dan kering serta sentiasa bergantung kepada unsur
lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud ketahanan
semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain
keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan ketahanan yang
kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.
Pengaruh pemikiran
Yunani bukan sahaja dapat dilihat dalam pandangan Ibnu Sina mengenai kesihatan
dan perubatan, tetapi juga bidang falsafah. Ibnu Sina berpendapat bahawa
matematik boleh digunakan untuk mengenal Tuhan. Pandangan seumpama itu pernah
dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani seperti Pythagoras untuk menghuraikan
mengenai sesuatu kejadian. Bagi Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai
angka-angka dan angka itu berkuasa di alam ini. Berdasarkan pandangan itu, maka
Imam al-Ghazali telah menyifatkan fahaman Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih
merosakkan daripada kepercayaan Yahudi dan Nasrani.
Sebenarnya, Ibnu Sina
tidak pernah menolak kekuasaan Tuhan. Dalam buku An-Najah, Ibnu Sina telah
menyatakan bahawa pencipta yang dinamakan sebagai "Wajib al-Wujud"
ialah satu. Dia tidak berbentuk dan tidak boleh dibahagikan dengan apa-apa cara
sekalipun. Menurut Ibnu Sina, segala yang wujud (mumkin al-wujud) terbit
daripada "Wajib al-Wujud" yang tidak ada permulaan.
Tetapi tidaklah wajib
segala yang wujud itu datang daripada Wajib al-Wujud sebab Dia berkehendak
bukan mengikut kehendak. Walau bagaimanapun, tidak menjadi halangan bagi Wajib
al-Wujud untuk melimpahkan atau menerbitkan segala yang wujud sebab
kesempurnaan dan ketinggian-Nya.
Pemikiran falsafah
dan konsep ketuhanannya telah ditulis oleh Ibnu Sina dalam bab "Himah
Ilahiyyah" dalam fasal "Tentang adanya susunan akal dan nufus langit
dan jirim atasan.
Pemikiran Ibnu Sina
ini telah rnencetuskan kontroversi dan telah disifatkan sebagai satu percubaan
untuk membahaskan zat Allah. Al-Ghazali telah menulis sebuah buku yang berjudul
Tahafat al'Falasifah (Tidak Ada Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli Falsafah)
untuk membahaskan pemikiran Ibnu Sina dan al-Farabi.
Antara percanggahan
yang diutarakan oleh al-Ghazali ialah penyangkalan terhadap kepercayaan dalam
keabadian planet bumi, penyangkalan terhadap penafian Ibnu Sina dan al-Farabi mengenai pembangkitan
jasad manusia dengan perasaan kebahagiaan dan kesengsaraan di syurga atau neraka.
Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu Sina dalam perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan beliau boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja unggul dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah mengatasi gurunya sendiri iaitu Abu Al-Nasr Al-Farabi (al-Farabi)
Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu Sina dalam perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan beliau boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja unggul dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah mengatasi gurunya sendiri iaitu Abu Al-Nasr Al-Farabi (al-Farabi)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan