Halaman

Jumaat, 13 Mac 2009

PERUTUSAN PRESIDEN PERDANA



Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera
Pertamanya, marilah kita sama-sama menadah tangan mengucapkan syukur kepada Allah swt kerana dengan izin serta Inayah-Nya, kita masih lagi diberi peluang untuk bersama-sama menghirup udara nyaman serta dapat meneruskan kehidupan dalam keadaan aman. Justeru, sama-samalah kita menjaga hubungan ketuhanan ini dan dalam pada masa yang turut menjaga hubungan kita sesama makhluk yang lain di atas muka bumi ini.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh ahli PERDANA sekalian kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada kami untuk memimpin PERDANA pada kali ini. Terima kasih juga diucapkan diatas sokongan dan penglibatan anda semua dalam PERDANA selama ini. Kami barisan pimpinan PERDANA sesi 2008/2009 sentiasa berusaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan kami ke arah yang lebih cemerlang di samping merapatkan lagi ukhuwah antara pimpinan PERDANA dan ahli serta masyarakat amnya.
Rakan-rakan mahasiswa/i sekalian,
Pepatah mengatakan, “patah tumbuh silih berganti”. Ayat-ayat seumpama ini cukup sinonim apabila tiba sesi baru dan pertukaran kepimpinan ke tampuk yang lain. Hakikatnya, semua itu adalah adat dunia yang mengajar kita erti kehidupan bahawa setiap yang bermula pasti ada akhirnya. Justeru, saya menyeru kepada kepimpinan yang baru PERDANA sesi 2008/2009 terutamanya untuk kita bersama-sama berusaha sedaya mungkin dalam memperkasakan lagi PERDANA sesuai dengan dua usul yang dibawa pada pimpinan sesi kali ini, iaitu memperkasakan lagi usaha kearah memasyarakatkan PERDANA untuk semua lapisan dan pelbagai latar belakang masyarakat sekeliling dan meluaskan lagi kerjasama antara PERDANA dengan pertubuhan-pertubuhan berdaftar yang lain kearah mencapai misi, visi dan objektif penubuhan PERDANA usaha dan memantapkan gerak kerja bukan hanya untuk meninggalkan nama semata-mata tetapi lebih lagi sehingga terkesan di hati warga PERDANA khususnya dan warga UKM amnya.
Buat sahabat-sahabat ahli PERDANA yang dikasihi sekalian, teruskanlah menyokong segala usaha dan aktiviti-aktiviti yang dirancang oleh kami sepanjang sesi ini. Siapalah kami tanpa sokongan kalian semua. Biar di mana anda berada tapi kita tetap bersama.
Sekian, salam perpaduan. “KITO ANOK BEGHANOK”
KHAIRUL ANUAR BIN MAT LAZIM PRESIDEN PERSATUAN MAHASISWA KELANTAN DARUL NAIM UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA SESI 2008/2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan